Tolak cinta, TikToker maut ditembak peminat.
Polis Pakistan pada Selasa menahan suspek utama dalam kes pembunuhan bintang TikTok berusia 17 tahun, Sana Yousaf.
Mangsa ditembak di rumahnya di Islamabad selepas berulang kali menolak permintaan suspek untuk ‘berkawan’.
Polis berkata, individu tidak dikenali menembak Sana dua kali di dada dengan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayatnya dibawa ke hospital Pakistan Institute of Medical Sciences (PIMS), Islamabad untuk bedah siasat.
Sana memiliki lebih 830,000 pengikut dan merekodkan lebih 29 juta ‘like’ di platform perkongsian video TikTok.
Menurut Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi, suspek merupakan seorang pelajar matrikulasi dan merupakan anak seorang pegawai kerajaan yang bersara.
Siasatan mendapati suspek telah menunggu mangsa selama lapan hingga sembilan jam di luar rumahnya pada 29 Mei lalu, namun gagal bertemu.
Keesokannya, dia kembali dan menunggu sehingga 10 jam sebelum menceroboh masuk ke dalam rumah dan menembak mangsa.
Suspek ditahan di Faisalabad, dan polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pembunuhan serta telefon iPhone milik mangsa.